Saturday, September 5, 2009

Beban Kad Kredit


Oleh Lokman Ismail (Berita Harian 19/1/2007)

CARA hidup moden mementingkan keberkesanan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad kredit di antara perkhidmatan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya. Justeru, banyak orang yang berminat memiliki kad kredit untuk kemudahan dalam urusan berkaitan kewangan.

Menurut sumber Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit.

Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, 40 peratus pemilik kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (statistik Oktober 2006).

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Dengan kata lain, di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya untuk mengelak diri terjebak masalah hutang tidak mampu dijelaskan. Fenomena penggunaan kad kredit yang melanda sekarang mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.

Justeru, setiap orang yang ingin memiliki kad kredit perlu memikirkan kesan penggunaannya. Fikirkan apakah benar-benar memerlukan kad kredit? Jika memiliki kad kredit, mampukah mengawal tabiat berbelanja?

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang. Ia memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun tunai dimiliki sedikit pada ketika itu.

Golongan kaya menggunakan kad kredit bukan bertujuan mengambil hutang. Kad kredit digunakan untuk kemudahan pembayaran sesuai dengan konsep awal kewujudannya diasaskan oleh Frank MacNamara pada 1950. Pada ketika itu hanya golongan jutawan dan ternama mampu miliki.

Sebaliknya pemilik kad kredit dari golongan berpendapatan menengah menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah atau dipanggil ceti moden. Pengguna hanya perlu membuat permohonan atau hakikat sebenarnya adalah ditawarkan, dan boleh berbelanja sesuka hati selagi tidak melepasi had ditetapkan.

Sememangnya Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah, hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang. Islam mengharuskan hutang kerana dapat membantu golongan miskin menyelesaikan masalah yang dihadapi berkaitan wang.

Pemilik kad kredit sebenarnya bukan golongan miskin yang perlu berhutang. Kad kredit dikeluarkan kepada mereka berpendapatan agak tinggi sebagai jaminan pemiliknya dapat membayar balik perbelanjaan dibuat melalui kad kredit.

Oleh itu, ada pemilik kad kredit rasa bangga memiliki kad kredit yang meletakkan dirinya golongan kaya. Sikap ini bertentangan dengan hakikat sebenarnya. Mereka sepatutnya malu terpaksa berhutang menggunakan kad kredit.

Antara sikap buruk pemegang kad kredit ialah mengambil mudah soal hutang. Banyak pemilik kad kredit berbelanja lebih daripada kemampuan membayar balik. Sikap demikian memperlihatkan keangkuhan dan berlebih-lebihan dengan kemudahan diberikan.

Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk, banyak pemilik kad kredit berbelanja sehingga had maksimum dibenarkan tanpa memikirkan keupayaan membayar. Belanja dahulu, soal membayarnya difikirkan kemudian.

Jadi, segala keinginan berbelanja dipenuhi dengan menggunakan kad kredit. Institusi kewangan pengeluar kad kredit pula sentiasa menggalakkan penggunaan kad kredit dengan memberi pelbagai ganjaran atau peraduan menyediakan hadiah lumayan.

Sebenarnya banyak pemilik kad kredit berbelanja kepada perkara yang tidak penting atau sesuatu yang boleh ditangguhkan perbelanjaannya. Keghairahan berhutang dijadikan satu kemegahan. Inilah sikap buruk pemilik kad kredit yang menjerat diri sendiri terjerumus ke dalam kancah kehidupan mencemari nilai moral. Sikap angkuh dan berlebih-lebihan amat bertentangan dengan ajaran agama kerana mendatangkan banyak keburukan kepada diri sendiri. Sesiapa di dalam dirinya lahir sikap angkuh dikatakan termasuk golongan munafik.

Sebenarnya penggunaan kad kredit bukan disediakan secara percuma. Setiap urus niaga dikenakan caj perkhidmatan mengikut syarat. Hanya sebahagian syarikat menerima pembayaran melalui kad kredit tanpa dikenakan caj. Dengan kata lain, berbelanja secara tunai sebenarnya lebih menguntungkan.

Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah. Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Sebab itu banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan.

Ketika itu, banyak pemegang kad kredit menghadapi tekanan dan semakin sukar untuk menjelaskan hutang. Biarpun tidak lagi mengambil hutang baru jumlahnya semakin bertambah setiap bulan disebabkan faedah dikenakan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.

Tindakan itu bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Sekiranya sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik kad kredit berdepan dengan suasana hidup semakin celaru dan krisis moral memerangkap diri.

Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan.

Sesiapa yang dikenakan status muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu.

Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang. Ia termasuk menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urus niaga haram.

Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya. Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarnya.

0 comments:


  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP